Thursday 15 May 2014

Kisah Fantasi : Hikayat Kerajaan Pasir Jerlus Part 1

Tersebutlah kisah bermula disebuah negeri nusantara yang terletak di atas tanah yang subur, sebuah negeri yang kaya dengan hasil tanahnya. Rakyat di negeri yang diberi nama Pasir Jerlus ini dipimpin oleh raja yang muda serta gagah perkasa. Raja ini berketurunan Hikayat Dato' Perkasa Sang Misai Buluh Runcing. Yang Mulia Perkasa Megat Shah Alam Peace Yow nama baginda. Jangan berasa pelik, kerana ibunda baginda berkahwin dengan keturunan dari Maharaja Cina. Baginda dijodohkan dengan Puteri Snowman Ribut Petir dari negeri Frozen yang terletak di hujung dunia. Anakanda mereka,Puteri Salju Flora Bunga Rafflesia. Kerajaan Pasir Jerlus ini hidup dengan aman dan sejahtera kerana keadilan dan kemurahan yang ditunjukkan oleh raja mereka.

Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Entah dari mana asal usulnya, tiba-tiba muncul sang Frankenstein gergasi yang teramat jahat dari tasik yang terletak di tengah-tengah kerajaan ini, Tasik Naga Kentut Berapi Hijau. Orang-orang tua kerajaan itu memberi namanya Gangnam Si Frankenstein Gergasi. Sungguh maju orang-orang tua di kerajaan itu.

Hendak dicerita bagaimana jahat dan kejinya Gangnam Si Frankenstein Gergasi ini, habis semua selipar dan sandal rakyat jelata dirembatnya semasa sembahnyang Jumaat. Maka, pulanglah kaum Adam di kerajaan itu ke rumah dengan berkaki ayam. Adapun loceng-loceng ding dong di rumah rakyat jelata habis ditekannya, lalu larilah ia sambil ketawa berdekah-dekah. Kadang-kadang ditahanya bas, tetapi tidak naik. Lebih keji, Gangnam Si Frankenstein Gergasi ini suka memancitkan tayar kereta guru-guru di kerajaan itu, Jenis tak belajar ilmu sivik dan kenegaraan betul si Frankenstein Gergasi ini. Patutnya diterajang secara berjemaah.

Ramai juga semangat darah muda yang mahu bangkit menentang, tetapi sia-sia. Malah, Pasukan Taktikal Khas Diraja pun tidak dapat mendekati apatah lagi mencederakan Gangnam Si Frankenstein Gergasi. Gangnam Si Frankenstein Gergasi ini mempunyai kuasa sakti, semua yang hendak menentangnya, akan disumpah menjadi beruang panda yang gebu. Pengawal terbaik diraja, Panglima Otomen Taro pun disumpahnya menjadi beruang panda.

Maka, kacau bilau menimpa negeri yang dulunya aman sejahtera dengan perlambakan beruang panda.Populasi buluh semakin berkurangan. Ini menyebabkan bisnes penjualan meriam buluh menurun. Kepala otak Raja Yang Mulia Perkasa Megat Shah Alam Peace Yow semakin rungsing dengan permasalahan ini. Lalu dikumpulkan semua ahli JKKKKK kampung seluruh pelosok negeri dan ahli-ahli bijaksana istana untuk membuat perbicangan dengan Gangnam Si Frankenstein Gergasi. Hasilnya, memorandom kedamaian telah berjaya dimeterai. Dengan syarat, setiap satu purnama hendaklah dikorbankan seorang anak dara sunti dari kalangan rakyat jelata untuknya. Barulah dia akan berhenti membuat havoc di kerajaan Pasir Jerlus itu.

Raja dengan berat hati terpaksa bersetuju dengan kehendak Gangnam Si Frankenstein Gergasi demi kebaikan negeri itu. Setelah beberapa purnama, maka stock anak dara sunti di kerajaan itu sudah run out. Yang tinggal hanya makcik-makcik monopous dan pakcik-pakcik surau bermain dam di kedai kopi selain tiu, beruang panda  bekeliaran di shopping complex dan dijalan raya. Populasi panda telah melebihi populasi manusia di negeri Pasir Jerlus pada ketika itu. Kadang-kadang panda lah yang menjadi peneman pakcik-pakcik surau bermain dam.

Anak dara sunti terakhir adalah ananda raja sendiri iaitu Puteri Salju Flora Bunga Rafflesia. Maka, gusar lah sang raja memikirkan nasib puterinya itu.

Bagaimanana nasib Puteri Salju Bunga Rafflesia ? Nantikan episod seterusnya.....

Jeng Jeng Jeng... Part 2 

* Kisah tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang mati. Cerita adalah rekaan semata-mata. Terima kasih kepada saudara Zam kerana sudi mengongsikan cerita.

No comments:

Post a Comment